BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, December 22, 2010

BAHASA HALUS DAN LIRIK LAGU

Wawancara (Zaidi) bersama Pn. Habsah Hassan melalui Facebook:

Zaidi: Bahasa halus dalam lirik lagu, apakah masih ada unsur kehalusannya?

Pn. Habsah: Saya memang berpandangan, senikata lagu(lirik, istillah orang sekarang) harus dipertahankan ciri-ciri 'kesenian'nya(dari pemilihan kata2,penggunaan bahasa dan kemantapan cerita/maksud ). Dukacita,kebanyakan senikata hari ini,semakin tipis 'seni'nya. Sama saperti kian tipisnya penggunaan perumpamaan, perbidalan, peribahasa, pantun, seloka,syair dan seumpamanya dari kehidupan kita sehari-hari. Tidak tahu dimana silapnya..sehingga orang kita sendiri tidak menaruh rasa cinta sedikitpun pada khazanah yang diwarisi ini.! Sungguh sayang! Tapi ada pula nanti mengatakan,karya seni adalah subjektif! (Betullah juga)

Zaidi: Dan bagaimana pula kiranya "liriknya halus" tetapi melodi/lagunya adalah sebaliknya?

Pn. Habsah: Orang dulu2 selalu mengatakan,bagaimana rentak begitulah tari.. Demikianlah seharusnya gabongan lirik dan melodi..Memang agak janggal melagukan senikata yang 'cantik'dengan irama/melodi yang tak tentu haluan. Sungguhpun tidak dapat dielakkan,anak muda suka mengikut 'trend',tetapi tidak perlu kita mengikutnya secara membuta tuli. 'Trend' datang dan pergi,namun karya yang baik,berseni dan lahir dari hati, akan bertahan lama, menjadi malar segar,terus diminati walau musim terus berganti.


Zaidi: Apa pula pandangan puan dengan lirik dwibahasa atau campuran dua bahasa Melayu secara penuh. (bahasa Melayu dan bahasa asing juga penuh (seperti Ing./Thai atau Cina).

Pn. Habsah: Boleh dilihat dari beberapa sudut. Dari sudut hiburan,malah lebeh dari dua bahasa juga mungkin terjadi. Seandainya boleh memperkenalkan bahasa kita ke peringkat antarabangsa,mengapa tidak?(ANAK,DAHIL SAIYO,SUKIYAKI antara contoh yang menarik- lagu negara2 dari timur yang berjaya menjadi lagu kegemaran dan malar segar di peringkat antarabangsa.) Dan dalam konteks 1Malaysia,apa tah lagi.(teringat lagu lama nyanyian Datok Zainal Alam 'Rose,Rose..I love you'yang menggunakan 4 bahasa)


Zaidi: Dan satu lagi, yg. agak biasa, sedikit campuran atau "rojak". Percampuran ikut suka?

Pn. Habsah: Saya secara peribadi, kurang menyenangi lagu berbahasa 'rojak'. Bagaimanapun ada ketikanya 'rojak'itu menjadi..samada sebagai bahan jenaka,sindiran atau gambaran realiti hari ini.(Salah satu contoh menarik ialah lagu nyanyian Tan Sri P.Ramlee 'ISTERI SAYA CEMBURU'yang dinyanyikan semula oleh Anita Sarawak.) Jika kena dengan melodi dan pemilihan kata-kata yang berseloroh,lagu 'rojak' boleh menjadi halua telinga yang membuat kita tersindir,tersenyum dan terhibur. Maknanya,sukar untuk mengenakan 'satu hukuman' tanpa menilainya dari aspek2 lain. Namun dari sudut 'bahasa',jawabnya 'tiada maaf bagimu.'

Zaidi: Sekali lagi terima kasih. "Lagu rojak". Kalau menurut Dato' Rais, beliau amat tidak setuju dengan penggunaan bahasa rojak, danyang dianggapnya "sekerat belut, sekerat ular". Jadi, kemungkinan besar lagu-lagu rojak tiada tempat di RTM. Apa pula pandangan puan dalam hal ini?

Pn. Habsah: Apapun dalam dunia ini,boleh dipandang dari beberapa sudut. Ada pro dan kon. Bagi saya,sesuatu kerja seni,harus dipandang pada keseluruhannya. Karya Picasso tu,apa bendanya? Namun apabila diiktiraf oleh tokoh-tokogh dalam bidangnya,tumpahan warna di kanvas menjadi karya agong yang tinggi nilainya. Begitulah juga dengan lagu,filem dan kerja-kerja seni lainnya. Sesungguhnya paling mudah ialah menjatuhkan hukuman!

Wawancara masih diteruskan.

Insya-Allah akan dimuatkan dalam Edisi Feb.
sumber:Dewan Bahasa, 14 Disember 2009.

0 komen: