Bahasa Melayu kian luntur
Masyarakat bersikap tidak peka gunakan bahasa rojak
KUALA LUMPUR 27 April - Penggunaan bahasa Melayu kini semakin luntur disebabkan sikap tidak peka masyarakat yang merosakkannya dengan menggunakan bahasa rojak.
Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, golongan ini tidak sedar mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dilindungi di bawah Perlembagaan Negara.
Beliau melahirkan kebimbangan ini ekoran semakin ramai rakyat negara ini yang tidak tahu bertutur bahasa Melayu dengan tepat.
Ini, katanya, disebabkan mereka tidak diwariskan menggunakan lunas yang betul dan menggunakan campuran bahasa lain terutama bahasa Inggeris.
``Bahasa kebangsaan ini harus dijamin agar tidak tercabul dan keadaan serta keutuhannya dihormati oleh semua generasi.
``Atas kesedaran itu, kementerian akan mengadakan beberapa program bimbingan budaya bahasa untuk mengembali dan melindungi bahasa itu sebagai satu warisan negara,'' katanya.
Menurutnya, bahasa lain seperti bahasa Inggeris, Perancis dan Mandarin mampu kekal tulen dan tidak pula mengalami masalah bahasa rojak.
Rais memberitahu demikian kepada pemberita selepas melawat Balai Seni Lukis Negara di sini, hari ini.
Isu bahasa rojak sekali lagi mendapat perhatian umum ekoran pengharaman lagu seperti Seksis dan Diva nyanyian Anita Sarawak dan Tipah Tertipu nyanyian Ruffedge oleh Radio dan Televisyen Malaysia (RTM). Lagu-lagu itu diharamkan kerana mempunyai unsur bahasa rojak.
Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin menjelaskan, tindakan itu diambil kerana lirik lagu-lagu tersebut mengandungi perkataan yang tidak mengikut panduan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
``DBP menjadi panduan kita dan kita tidak boleh biarkan lagu-lagu ini diperdengarkan kerana tahap bahasa Melayu yang digunakan RTM sering dijadikan panduan oleh pihak lain,'' katanya.
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Zaienal Abidin Osman pula meminta Kementerian Penerangan menyeragamkan panduan penyiaran lagu ke semua stesen televisyen dan radio swasta kerana menimbulkan kekeliruan di kalangan karyawan.
Rais berkata, bahasa kebangsaan kini didapati luntur terutamanya dalam pertuturan kerana ia dicampur aduk dengan unsur-unsur bahasa rojak.
``Kini, jarang kita dapati orang yang boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan yang utuh.
``Kebanyakan kita di Malaysia berbahasa Melayu sekerat belut, sekerat ular iaitu sekerat bahasa Melayu, sekerat bahasa Inggeris,'' katanya.
Rais berpendapat, perkara tersebut yang merupakan persoalan utama kini berlaku kerana penggunaan bahasa Melayu tidak diwariskan mengikut lunas yang betul.
``Dalam kita mengejar pembangunan, bab ini jarang diberi perhatian,'' ujar beliau.
Rais berkata, beliau turut terkilan dengan sikap sesetengah stesen televisyen tempatan yang banyak menggunakan bahasa ``separuh ular, separuh belut'' serta mencampur-adukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam program mereka.
``Program-program di televisyen misalnya juga sudah mempunyai unsur bahasa rojak yang perlu diberi bimbingan contohnya program Sure Heboh. Ini merupakan bahasa sekerat Melayu dan sekerat Inggeris,'' katanya.
Sehubungan itu, Rais berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan kementerian yang berkaitan seperti Kementerian Pelajaran dan Kementerian Penerangan selain DBP untuk mencari penyelesaian terbaik masalah berkenaan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementerian sedia mengkaji semula Dasar Kebudayaan Negara yang dibuat pada 1971 oleh Kongres Kebudayaan Pertama bagi memastikan ia relevan dengan keadaan semasa.
``Kementerian sedia mengadakan forum, seminar, simposium atau kongres bagi pihak yang berminat untuk membincangkan mengenai dasar berkaitan kebudayaan bangsa Malaysia di samping dasar lain yang relevan dengan cara hidup rakyat negara ini,'' katanya.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan berhak memutuskan apa tindakan yang perlu diambil hasil daripada seminar atau simposium yang diadakan itu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dasar berkenaan yang dikatakan tidak relevan oleh sesetengah pihak dan perlu dikaji semula memandangkan ia telah terlalu lama digubal.






0 komen:
Post a Comment