BAHASA MALAYSIA DI PERSADA DUNIA
BERITA HARIAN Rabu, 22 Oktober 2008
Syarahan Raja Ali Haji
Keunikan bahasa Melayu tergambar dalam pemilihan kata yang diungkap. Keindahan dan keistimewaan bahasa Melayu mendapat pengaruh daripada adat resam orang Melayu turun-temurun yang mengajar cara bertutur atau berbicara dengan baik untuk menyampaikan buah fikiran, perasaan, saranan, kritikan dan sebagainya.
Lembut lidahnya lagi menyejuk-kan hati apabila bertutur, manis katanya, ramah-tamah penuh tulus ikhlas dilahirkan melalui ungkapan yang memberi petunjuk bahawa percakapan yang elok dan baik hendaklah dilakukan de-ngan arif dan bijaksana mengikut adat dan budaya tempatan.
"Apa tanda Melayu yang bijak, berfikir dahulu sebelum
bertindak,
Apa tanda Melayu beradab,
berfikir dahulu sebelum
bercakap,
Apa tanda Melayu bertuah,
berfikir dahulu sebelum
bermadah,
Apa tanda Melayu berakal,
berfikir dahulu sebelum
berbual".
Segala peringatan dan tunjuk ajar yang terkandung dalam ungkapan di atas menunjukkan betapa orang Melayu arif dan teliti dalam menyampaikan pendapat dan fikirannya sebagai cerminan keperibadian Melayu yang islam lagi terpuji yang menjadi anutan.
Demikian antara Syarahan Raja Ali Haji 2008 yang disampaikan oleh mantan Ketua Umum Lembaga Adat Riau, Indonesia, Dr. Tenas Effendy di Dewan Seminar, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 10 Oktober yang lalu. Tokoh budayawan dan penulis terkenal ini yang juga karyawan tamu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya membicarakan syarahan berjudul "Kearifan Orang Melayu Berbahasa".
Anak kelahiran Dusun Tanjung Malim, Desa Kuala Panduk, Pelalawan, Indonesia, menekankan bahawa ajaran berbahasa ini mencerminkan budi pekerti mulia dan penuh ke-santunan orang Melayu sehingga timbulnya "pantang larang" dalam berbahasa, iaitu melarang menggunakan bahasa yang tidak sopan yang mungkin menyinggung perasaan, membuka aib malah menjatuhkan maruah sese-orang. Orang Melayu yang menggunakan bahasa yang "kasar langgar" turut mendapat sindiran seperti dalam ungkapan:
"Siapa bercakap kasar
langgar, malangnya
banyak celakanya besar"
"Siapa berkata kasar
langgar,
budinya rendah imannya
longgar".
Justeru, keunikan bahasa Melayu dalam mengungkapkan teguran membuktikan begitu arifnya orang Melayu berbahasa. Pantun dan syair yang disusun begitu cermat dengan makna secara tersurat dan tersirat, memperlihatkan kearifan orang Melayu berbahasa, seperti dalam contoh syair di bawah:
"Wahai ananda dengarlah petua
Hidup di dunia berpada-pada
Luruskan niat lapangkan dada
Supaya menjauh bala bencana"
"Wahai saudara elokkan laku
Hidup bersama bantu
membantu
Hilangkan sifat iri cemburu
Supaya hidup tidak berseteru"
Syarahan anjuran Persatuan Linguistik Melayu (PLM) de-ngan kerjasama DBP sejak tahun 1991 ini meneruskan perjuangan cendekiawan Melayu silam, tokoh agama dan budaya, Raja Ali Haji atas sumbangannya dalam bidang bahasa, persuratan dan sejarah Melayu. Beliau dianggap pencatat sejarah Nusantara yang pertama kerana ketokohannya itu.
Seramai kira-kira 300 orang peserta hadir dalam syarahan tersebut termasuk Presiden PLM, Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin, Ketua Bahagian Pe-ngembangan Bahasa Melayu, Rusli Abd. Ghani, aktivis dan bu-dayawan negara.
Halaman Dua Belas




0 komen:
Post a Comment