BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, December 21, 2010

BAHASA MELAYU DI PERSADA DUNIA

BAHASA MELAYU DI PERSADA DUNIA
oleh nizam yatim

NICHOLAS Charles Parson dan Farhan Diayana Samsudin yang menjuarai kategori masing-masing bersama replika cek dan piala kemenangan PABM 2008.
BAHASA, jati diri dan semangat kebangsaan merupakan tiga perkataan yang tidak boleh dipisahkan. Ini kerana secara semantik, nasionalisme sering berkait dengan persoalan bangsa, kebangsaan, dan negara. Namun secara etimologi terlihat bahawa nasionalisme berakar pada bangsa dan meluas pada (ke)bangsa(an).
Menurut Louis L. Snyder dalam bukunya The Meaning of Nationalism (1954), istilah kebangsaan mengarah kepada aspek bahasa rasmi, wilayah demografi, peradaban dan yang abstrak iaitu kesedaran nasional.

Nasionalisme dalam aspek bahasa Melayu di negara ini sesungguhnya memerlukan penjelasan dalam aspek persejarahan - peranan luas bahasa tersebut dalam pelbagai bidang ketika era kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka sekitar 500 tahun lalu.

Namun, faktor kolonialisme dan kejatuhan kesultanan Melayu di tangan penjajah asing menjadi titik-tolak kepada penyempitan peranan dan skop penggunaan bahasa Melayu di rantau ini. Impak yang paling besar ialah mengikis nasionalisme bahasa atau meminjam istilah pemikir John Locke dan Johan Gottlieb Fichte sebagai `penilaian semula’ nasionalisme dan seringkali disebut sebagai nasionalisme moden.

Persoalan-persoalan inilah yang menjadi inti kepada kedudukan bahasa Melayu di Nusantara umumnya dan Malaysia khasnya hari ini yang terpaksa bersaing dengan bahasa asing.
Malah, ada segelintir masyarakat yang lebih cenderung menggunakan bahasa Inggeris dalam kehidupan dan urusan seharian kerana dianggap lebih berprestij.

Ironisnya, masyarakat asing cukup berminat untuk mendalami dan menyelami estetika bahasa Melayu yang dianggap mempunyai kelebihan tersendiri dalam pelbagai aspek. Ini terbukti terdapat sekitar kursus pengajian bahasa Melayu yang ditawarkan di beberapa universiti asing. Antaranya Beijing University of Foreign Studies, China.

Dalam pada itu, Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri 2008 (PABM) memberi makna tersendiri kepada ruang jangkauan bahasa Melayu.
Ia sangat tepat ketika pelbagai pihak seperti Persatuan Penulis Nasional (Pena) sedang merintis laluan kerjasama kebahasaaan, kesenian dan kebudayaan dengan beberapa universiti di wilayah Selatan Thailand. Antaranya Prince Songkla University (PSU), Universiti Walailak dan Universiti Thaksin. PABM merupakan program anjuran Kementerian Pengajian Tinggi yang bertemakan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu. Ia berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.

Pelajar cacat penglihatan dari Canberra, Australia, Nicholas Charles Parson muncul sebagai juara kategori antarabangsa apabila berjaya mengalahkan 27 peserta normal lain yang mengambil bahagian. Parson, 21, yang tidak dapat melihat sejak lahir menyampaikan pidato bertajuk Hak Asasi Manusia Teras Keharmonian Sejagat dengan lancar, menyakinkan serta menggunakan bahasa Melayu yang jelas.

Beliau yang merupakan penuntut jurusan Undang-Undang dan Kajian Asia di Universiti Nasional Australia membawa pulang piala pusingan berbentuk tiga bilah keris yang menjadi tapak kepada glob bumi diperbuat daripada perak, wang tunai RM10,200 dan beberapa hadiah iringan lain.

Terkejut
Beliau yang terkejut dengan kemenangan itu memberitahu dirinya mula belajar bahasa Melayu Indonesia sejak di sekolah menengah berikutan ia menjadi mata pelajaran yang diwajibkan.
“Kecacatan yang saya alami menyebabkan pihak sekolah menyediakan beberapa guru bagi mengajar saya secara khusus dan salah seorang daripada mereka adalah dari Malaysia.

“Guru lelaki ini banyak menggalakkan saya untuk belajar dan lama-kelamaan saya tertarik dengan bahasa ini khususnya bahasa Melayu yang indah dan unik serta mempunyai banyak persamaan dengan bahasa Indonesia,” katanya.
Tempat kedua dimenangi Han Xiao, 23, dari China manakala ketiga oleh Alena Bykova, 19, dari Rusia yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM6,800 dan RM3,400 serta hadiah iringan.

Dalam pada itu, dengan hanya mendapat tempat ketiga bermakna Bykova yang merupakan pelajar Universiti Negeri Moscow gagal mengulangi kejayaan pelajar universiti sama, Olga Vadimovna Vasilevskaya, 19, yang menjadi juara pertandingan itu pada tahun lalu.

Juri pertandingan tersebut diketuai Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr. Nordin Kardi manakala juri lain terdiri daripada Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Tan Sri Jins Samsudin; pensyarah Universiti Moscow, Dr. Tantiana A. Denisova dan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Arndt Graf.

Sementara itu, kategori nusantara pula dimenangi penuntut tempatan yang mengambil jurusan Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Farhan Nor Diayana Samsudin, 21.
Naib johan kategori tersebut pula dimenangi peserta Indonesia, Sujarhadi, 24, manakala tempat ketiga diraih oleh Malai Yunus Malai Yusof, 38, dari Brunei Darussalam.
Negara-negara lain yang turut menghantar peserta bagi menyertai pertandingan dalam kategori nusantara ialah Singapura, Thailand dan Filipina.

Secara keseluruhan 39 peserta dari 35 negara menyertai pertandingan itu, melibatkan 28 orang bagi kategori antarabangsa dan 11 orang kategori nusantara. Jumlah tersebut merupakan peningkatan yang agak tinggi berbanding hanya 23 peserta dari 23 negara menyertai pertandingan bagi kedua-dua kategori itu pada tahun lalu.

Farhan Nor Diayana yang diminta mengulas kemampuan pelajar asing berpidato berkata, dia kagum kerana mereka menggunakan bahasa Melayu yang tulen berbanding penduduk tempatan yang gemar menggunakan loghat daerah.

“Mereka cukup bersungguh-sungguh untuk memperbaiki penguasaan bahasa masing-masing sehingga menyebabkan saya sendiri merasa malu,” ujarnya yang berasal dari Kuala Nerang, Kedah.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

sumber: berita harian 3 mac 08

0 komen: